Monday 2 May 2011

usia bukan penghalang untuk berjaya (kisah 3)

ini kisah ke3 untuk bagi motivasi pada diri saya. harap sangat, saya akan bersemangat dan dapat buka perniagaan besar macam individu ini. aja aja fighting!!!

Pada usia hampir 50 tahun, kebanyakan wanita kaum India akan memilih untuk berehat di rumah. Anak-anak pula mungkin diharapkan untuk memberi bantuan kewangan. Bagaimanapun, tidak begitu dengan Alice Nayagam yang berumur 48 tahun.

Beliau masih mempunyai cita-cita dan impian untuk dikejar. Wanita yang bersemangat waja ini mempunyai matlamat untuk mencapai lebih banyak kejayaan dalam bidang yang diceburi.

Alice adalah seorang tukang jahit yang berjaya dan sangat disegani di sekitar Segambut, Kuala Lumpur. Beliau mempunyai pengalaman menjahit pakaian sejak berumur 19 tahun.

“Saya berasal daripada keluarga yang sangat miskin di Pulau Pinang. Saya anak ketiga dalam keluarga. Memang saya kurang pendidikan,” kata Alice kepada wartawan NILA semasa ditemui di rumah beliau.

Alice berjaya membuktikan bahawa walaupun seseorang tidak mempunyai pendidikan tinggi, mereka masih boleh berjaya jika berusaha gigih.

“Saya mula belajar sendiri untuk menjahit pakaian. Pada masa itu, saya hanya mempunyai satu mesin jahit lama,” Alice menceritakan. “Tetapi kini saya sudah mampu membeli lapan mesin jahit yang canggih dan moden.”

Wanita yang periang dan mudah senyum ini selalu menerima tempahan pakaian daripada orang ramai. Beliau pakar menjahit saree blouse, churidar dan bermacam-macam lagi pakaian wanita. Semuanya dipelajari sendiri selepas melihat pelbagai fesyen pakaian di pasaran.

“Saya bersyukur dengan kejayaan yang saya capai sekarang. Dulu saya hidup susah. Saya terpaksa bekerja keras untuk menampung perbelanjaan keluarga. Saya gembira kerana kerja menjahit merupakan satu pekerjaan yang menjanjikan pendapatan,” kata beliau dengan gembira.

Alice juga sedar bahawa terdapat ramai wanita miskin yang kurang pendidikan. Mereka mungkin berminat untuk belajar cara menjahit. Akan tetapi, mereka tidak mampu menghadiri kelas kerana yuran yang tinggi.

“Saya bermula sebagai seorang yang sangat susah. Jadi saya faham keadaan mereka. Sebab itulah saya mengendalikan kelas menjahit dengan bayaran yang berpatutan. Pinjaman juga boleh diuruskan,” kata Alice sambil menambah: “Kalau kita sudah ada minat dan kesanggupan, jangan berfikir tentang halangan.”

Wanita berumur 48 tahun ini telah membuktikan kata-katanya. Beliau tidak mahu menghabiskan sisa hidup dengan berehat di rumah. Sebaliknya beliau masih mempunyai impian dan cita-cita yang sedang dikejar.

“Saya mahu menjadi tukang jahit yang sangat dikenali dan dihormati,” Alice menegaskan. “Pada masa yang sama, saya mahu membantu golongan wanita yang ingin belajar menjahit.”

Dengan lapan mesin jahit serba moden yang ada sekarang, Alice mengendalikan kelas menjahit. Sehingga sekarang, sudah ramai bekas pelajar beliau membuka kedai jahit sendiri. Alice gembira melihat kejayaan anak murid beliau.

“Dalam bidang menjahit pakaian, kita mesti sedia bersaing. Kita perlu sentiasa peka terhadap citarasa dan fesyen semasa,” kata Alice berdasarkan pengalaman beliau. “Kalau kita tidak sedia bersaing, susah untuk berjaya.”

Kejayaan Alice pasti menjadi dorongan kepada wanita kaum India. Jadikanlah Alice contoh yang baik untuk berusaha mempelajari sesuatu kerja tangan. Umur dan tahap pendidikan bukan penghalang. Apa yang penting adalah keinginan dan cita-cita.

“Walaupun saya tidak berpelajaran tinggi, saya tetap mengambil inisiatif untuk belajar menjahit dan mencapai cita-cita saya. Tukang jahit adalah kerja yang sangat mulia. Kita membantu melindungi tubuh manusia. Kita juga boleh mencuba pelbagai fesyen jahitan. Kalau kita membuat kerja dengan baik dan bermutu, tentu pelanggan kita terus bertambah. Pendapatan kita juga akan bertambah,” kata Alice dengan tegas di akhir wawancara.

Alice boleh dihubungi melalui nombor telefon 03-62502194 untuk mendapatkan maklumat mengenai kelas menjahit yang dikendalikannya.




No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...